Monday, January 11, 2010

Kita Lupa Menilai Diri kerana keinginan nafsu yang terlalu besar

"Sesungguhnya pada cerita-cerita mereka terdapat ibarat (pengajaran) bagi orang-orang yang mempunyai akal" (Surah Yusuf:111).

Semalam Itu Sejarah, Kita Pasti Silap, kerana sifat maknusia yang alpa....kekadang tidak berupaya mengukur keupayaan sebenar diri sendiri......begitu juga kisah yang ingin di ceritakan berikut ini

Kublai Khan merupakan cucu kepada Genghis Khan, yang aku rasa semua orang kenal; pembina empayar yang berjaya selepas Alexander The Great. Genghis Khan berjaya menawan keseluruhan kawasan tengah Asia, dan cucunya Kublai Khan pula berjaya menguasai wilayah Selatan China.

Kublai Khan juga mencipta mata wang kertas untuk China dan dengan beraninya cuba mengenepikan gaya hidup nomad kaum Monggolia untuk menubuhkan sebuah bandar pentadbiran yang kekal di Xanadu, supaya empayar lebih stabil dan kerajaan dapat ditadbir dengan lebih efisien.


Tapi sebenarnya bukan itu yang aku nak ceritakan, tapi aku nak ceritakan salah satu keputusan Kublai Khan yang merupakan satu kesilapan maha besar dan sekaligus mengakibatkan ketidakstabilan di dalam empayarnya; menakluk Jepun dengan tergesa-gesa!

Ketika zaman kemuncaknya, Kublai Khan mahu membuktikan bahawa kaum Mongol adalah yang tidak terkalah dan pada masa yang sama juga beliau mahu mengaut emas di Jepun. Askar Mongol adalah askar berkuda yang cekap di mana mereka boleh memanah sambil berkuda, satu kebolehan yang tidak ada pada mana-mana askar berkuda di dunia pada masa itu. Tapi askar Mongol bukanlah askar marin yang cekap. Dan usaha terburu-buru ini juga menjadi salah satu punca kebencian kaum Han yang ditakluk, kerana mereka dipaksa untuk menyediakan lebih 1000 buah kapal (jong) dalam masa setahun untuk menakluki Jepun.

Askar berkuda Mongol yang sangat mahir memanah

Cubaan pertama pada 1274 dengan 900 buah kapal digagalkan oleh Samurai Jepun dan angin suci atau kamikaze yang dikatakan diturunkan oleh Tuhan Guruh, Raiden. Walaupun gagal, tetapi serangan itu telah memberikan impak yang buruk kepada Jepun.

Kublai Khan tidak putus asa, tapi malangnya dia tidak belajar daripada kesilapan! Tahun 1281, Mongol menyerang Jepun sekali lagi dengan cuba mendarat di Perairan Takashima, bersama 1170 buah jong tapi sekali lagi digagalkan oleh cuaca buruk atau kamikaze. Tapi bukan itu yang menjadi punca sebenarnya, kegopohan Kublai Khan membina jong telah memaksa kaum yang ditawannya membina, mengguna apa saja kapal yang ada termasuklah kapal yang dibina untuk laluan sungai.

Kapal yang dibina untuk sungai lebih lebar dan tidak runcing ke dalam air kerana sungai tidak begitu bergolak dan begitu dalam berbanding laut. Tapi laut itu berombak dan lebih dalam. Diburukkan lagi dengan hujan, angin kencang dan ribut, maka kapal sungai itu pasti sangat mudah diterbalikkan oleh ombak.

Akibatnya, cubaan kedua juga gagal, dan Kublai Khan terpaksa menanggung akibatnya. Ramai tentera yang mati, empayarnya mengalami masalah inflasi yang teruk akibat matawangnya jatuh harga, peningkatan cukai dan menjurus kepada rasa tidak puas hati orang Monggol dan keengkaran pembayaran cukai.

Tak perlulah aku ceritakan apa yang terjadi kepada Kublai Khan dan Empayar Yuan, sebab tujuan utama aku memerah sereberum dan serebelum aku ini kerana aku ingin menyatakan rasa hati aku. Bahawa jika kita ingin melakukan sesuatu; terutama perkara yang besar dan penting serta memberikan impak yang mendalam dalam kehidupan kita, maka rancanglah dengan teliti, nilai lah keupayaan diri

Aku bersetuju kalau kalian menafikan bahawa tidak semua perancangan menjadi seperti yang dirancang, tapi aku sangat yakin walaupun apa yang kita rancang tidak menjadi, setidak-tidaknya sebahagian pasti mengikut corak perancangan kita, dan berusahalah untuk bersyukur dengan kejayaan itu.

Dan ada pula yang akan berkata bahawa kadang kala sesetengah perkara yang tidak dirancang akan memberikan hasil yang lebih baik daripada apa yang dirancang. Pun aku setuju, tapi adakah kita akan bernasib baik seperti itu sepanjang hidup kita, dan benarkah hasilnya lebih baik atau kita menerima dan bersyukur dengan hasil itu sebab perancangannya cuma sekelip mata sepantas kilat?

Satu lagi, kita haruslah belajar dari kesilapan. Kegagalan beerti kita ada melakukan kesilapan. Aku tidak percaya jika ada orang kata kita gagal kerana ada makhluk lain buat sesuatu yang lebih baik dari kita. Memang makhluk itu buat lebih baik dari kita, tapi kita masih silap kerana tidak mengenal pasti kelemahan dan kepentingan yang membolehkan kita menang. Tapi masih ada orang yang tidak mahu belajar langsung dari kesilapan.

Sejarah banyak mengajar kita, memberi iktibar dan tauladan. Tapi berapa ramai yang memandang berat sejarah? Tak perlu tunggu 100 tahun, 10 tahun, atau 1 tahun, semalam adalah sejarah dan kita patut melihat, menilai kembali kesilapan kita agar kita boleh membuat yang terbaik dan menang hari ini.

Peringatan ini juga untuk diri aku yang kerap alpa........

Kejutkan aku kawan jika aku lena, kerana aku pasti akan mencurahkan segayung air jika kalian terlena (cuma cara aku mencurah air mungkin berbeza).

No comments:

Post a Comment