Thursday, June 11, 2015

PENGURUSAN RISIKO CUKAI 1

Sistem percukaian sudah lama wujud di Tanah Melayu.[1] Pada zaman pemerintahan Kesultanan Melayu di Melaka, cukai dipungut daripada semua kapal yang melalui Selat Melaka. Sistem cukai pendapatan mula diperkenalkan penjajah Inggeris pada awal kurun ke-20 untuk tujuan membiayai perbelanjaan perang empayar British tetapi kemudian dihentikan selepas mendapat tentangan rakyat dari Negeri-Negeri Selat[2]. Ini jelas menunjukkan percukaian berperanan penting dalam perkembangan sistem ekonomi dan sosial negara sejak manusia hidup bertamadun dan tujuan utama kerajaan mengenakan cukai dari zaman purba hingga sekarang adalah untuk mendapatkan sumber kewangan bagi perbelanjaan negara dan rakyat.

Percukaian itu sendiri melalui proses perkembangan berterusan daripada satu sistem kutipan hasil secara mudah tanpa sebarang peraturan bertulis kepada satu sistem perundangan dan pentadbiran yang lebih kompleks. Namun prinsip asas percukaian tetap berkekalan sehingga hari ini iaitu sebagai suatu mekanisme mengumpulkan hasil daripada individu, syarikat atau entiti lain untuk membangunkan negara dan menyediakan pelbagai kemudahan awam bagi manfaat dan kesejahteraan rakyat.[3]

Pengurusan cukai bagi setiap pembayar cukai merupakan perkara yang penting untuk melindungi diri daripada menghadapi tindakan-tindakan yang mungkin akan diambil oleh Pihak Berkuasa. Menurut Amoros (1984), pengurusan ialah satu sistem cukai yang adil dalam ekonomi yang membangun di mana ia perlu dibentuk secara teknikal dan kompleks. Bahkan juga menurut Slemrod (1992) pada tahap yang tertentu kompleksiti diperlukan dalam sistem cukai.[4] Ini adalah kerana setiap pembayar cukai adalah berbeza dari segi pendapatan, tanggungan, pelepasan dan sebagainya. Ini secara langsung telah menjadikan tanggungan cukai seseorang turut berbeza. Ekoran itu, kebanyakan negara dilihat mempunyai bentuk sistem yang kompleks untuk mencapai matlamat pengutipan dan pengagihan cukai yang adil dan sistematik.



[1] Dato’ Hasmah Abdullah. (laman web:http://blog.hasil.gov.my/?p=305) [26 Februari 2009]

[2] Pada ketika itu, negeri-negeri tersebut ialah Pulau Pinang, Melaka dan Singapura.

[3] Dato’ Hasmah Abdullah. (laman web:http://blog.hasil.gov.my/?p=305) [26 Februari 2009]
[4] Joel Slemrod. 1992. “Do We Know How Progressive The Income Tax System Should Be?” National Tax Journal. September 1983. 36930. pp.36-369.

No comments:

Post a Comment